Jongkong
Bukanlah jongkong ini berkait dengan jongkong emas, tetapi adalah sejenis masakan yang sangat aku gemari. Sejenis masakan, terhasil dengan cara kukus.Amatlah menyelerakan rasa lemak + manis gula nya, sajian lazat ini hanyalah dapat aku nikmati tatkala di kampung, dek kerana setakat pengetahuan aku, hanya mak sahaja yang arif menghasilkan jongkong yang sangat memuaskan deria rasa aku.
Gambar(memetik dari My Monologues)
(siap bungkusnya..tapi aku selalu cedok dari talam saja)
Kalau tangan terasa gatal mahu cuba, boleh lihat sini. Rasalah dahulu keenakan jongkong ini, barulah digalakkan cuba menghasilkan, kerana masak tanpa mengetahui manis lemak rasanya dikhuatiri akan terpesong, lalu terhasil satu masakan lain pulak. Kalau nak, aku boleh tanyakan pada Mak.
Jongkong dan Ramadhan tidak dapat dipisahkan dalam episod telenovela keluarga aku. Mak jarang sekali buat jongkong di luar musim berpuasa. Lojikanya, santapan ringan ini amatlah sesuai untuk pemberi tenaga setelah seharian berpuasa. Makan jongkong beserta air sudah cukup untuk menghilang letih lesu, dan boleh terus bersolat Maghrib tanpa beban perut yang berat. Kalau di luar musim Ramadhan, ia hanya dimasak kalau mak berpuasa, atau permintaan aku tatkala pulang ke kampung.
Jongkong jugalah menjadi pendapatan sampingan mak sewaktu Ramadhan, tapi waktu aku masih sekolah rendah. Jadi ibu tunggal tanpa ditinggalkan harta berkoyan-koyan serta berharap pada pencen kecil, memanglah tidak cukup. Untung ada abang sepupu yang berjaja keliling kampung dan taman perumahan berdekatan kampung. Maka, Mak sediakan jongkong dan cucur udang campur untuk dijajakan. Memang seronok membantu Mak dalam penyediaan barang jajaan, terkadang lupa juga aku berpuasa hahaha. Namun di sebalik riang riuh, aku dapat rasakan beban yang Mak tanggung. Betapa cekal hati seorang ibu, membesarkan 3 orang anaknya tanpa kehadiran bapak. Rasa nak terpancut air mata pon ada wei…
Zaman perit jerih sudah lama disimpan dalam gobok sejarah. Mak tidak perlu lagi berjaja. Kelazatan jongkong Mak masih kekal merenggut nafsu makanku tak kira ketika. Biar perut penuh sekalipun, penutup tirainya mesti jongkong kalau ada. Terfikir juga kebarangkalian wujudnya cara-cara untuk mencipta jongkong segera.Hm…
Godspeed
About this entry
You’re currently reading “Jongkong,” an entry on AkuTaip
- Published:
- November 5, 2008 / 10:04 am
- Category:
- Makan, putar masa
- Tags:
- ibu tunggal, kampung, makanan tradisional, Ramadan






No comments yet
Jump to comment form | comments rss [?] | trackback uri [?]